Perkongsian dan ingatan untuk diri saya dan juga suami. Very gud info
Mengatasi
Masalah Anak Yang Degil
Kadangkala,
sebagai ibu bapa memang sukar untuk kita bersabar dengan karenah anak-anak.
Corak kehidupan masa kini menambahkan lagi bebanan yang ditanggung oleh ibu
bapa. Lebih-lebih lagi bagi yang menjadi ibu atau bapa tunggal, beban dan
tanggungjawab menjadi berlipat kali ganda. Anak-anak pula sering meminta
perhatian, dan ada pula yang tidak tahu berdikari walau sedikit pun. Mereka
semakin pandai merungut, mengambil kesempatan atau membuat helah yang mereka
tidak boleh melakukan sesuatu hanya untuk mendapatkan perhatian hingga kita
kadang-kadang merasakan tidak ada apa-apa lagi yang boleh diberikan.
Di
zaman moden ini, pengaruh dari apa yang berlaku di sekeliling seringkali
membuatkan kebanyakan kita tergesa-gesa, memberitahu anak-anak apa yang perlu
dilakukan sambil berlalu di hadapan mereka, dan kemudian pergi. Malangnya, apa
yang berlaku ialah selepas membuat 15 permintaan untuk melakukan sesuatu
misalnya, kebanyakan kita akan menjadi kecewa. Ada yang terpaksa meninggikan
suara, walau pun perkara itu tidak mereka sukai. Ramai yang merasakan, "Kenapa
anak saya hanya mendengar apabila saya menjerit kepada mereka?" Bagi
kanak-kanak, mungkin ia merupakan masa untuk mendapatkan sedikit rehat atau pun
melihat apa yang sedang berlaku.
Kebanyakan
kanak-kanak sudah mempelajari bahawa mereka boleh mengenepikan suruhan kita
apabila kita bercakap pada nada suara biasa, kerana tidak lama kemudiannya kita
akan keluar ataupun sibuk melakukan hal-hal tertentu. Maka kanak-kanak tersebut
boleh meneruskan semula apa yang sedang mereka lakukan tanpa gangguan. Walau
bagaimana pun, mereka tetap "peka" kepada nada suara kita ibu bapa mereka dan
tahu bila mereka patut mendengar permintaan kita. Mereka tahu pada nada mana
ancaman ibu bapa mereka akan jadi kenyataan. Justeru itu, bagaimana untuk
membuatkan mereka mendengar kata tanpa kita perlu menjerit dan
mengugut?
· Jangan
tergesa-gesa sambil menggesa dalam memberi arahan. Kadangkala lagi banyak
menggesa, keadaan menjadi lebih buruk. Jika kita mahu mereka melakukan sesuatu,
kita perlu meluangkan sedikit masa hanya untuk memberitahu perkara itu.
Hampirilah anak itu, pandang kepadanya dengan pandangan yang mesra dan katakan
apa yang kita mahu dia lakukan. Anda boleh menyentuh bahunya dengan lembut
ketika membuat permintaan itu. Kadangkala, anak yang degil ini sengaja bersikap
demikian untuk meguji kesabaran kita. Oleh itu, kita akan kalah jika kita hilang
sabar.
· Berlembut
dengan nada kasih sayang. Anak-anak seperti ini bersikap keras di luar, tetapi
sebenarnya mereka masih lembut di dalam. Tawanlah hatinya. Untuk itu, kita perlu
gunakan cara yang lembut. Gunakan kata-kata pujukan dan rayuan seperti, "Man,
mak penat betullah, Man. Man kesian mak tak? Boleh tak Man tolong sapu halaman
di luar tu? Emak tak tahu siapa lagi yang boleh tolong emak. Kalau mak buat
juga, sakit pinggang mak akan menjadi bertambah teruk lagi. Boleh ya, Man? Man
anak baik kan?" Memanglah kita perlu meluangkan sedikit masa untuk memberikan
kata-kata seumpama ini. Tetapi apa salahnya kalau kata-ata arahan seperti, "Man,
pergi sapu halaman," itu tidak berkesan?
· Tunggu
sebentar di sisinya sehingga dia bangun untuk melakukan apa yang disuruh.
Kehadiran kita di sisinya lebih meyakinkan dia bahwa kita benar-benar serius
mahu dia melakukan suruhan tersebut. Ia lebih berkesan daripada mengulang-ulang
arahan yang sama dari jauh.
· Berikan
komen yang positif apabila dia bangun untuk melakukan apa yang disuruh. Sewaktu
dia sedang melakukannya, datang dan jenguk dia serta berikan terus komen-komen
positif. Jangan tunggu sehingga dia selesai, baru anda hendak berikan komen yang
positif. Anak-anak seperti ini perlu didorong dengan lebih kuat daripada anak
yang sedia mendengar kata-kata ibu bapa mereka.
· Apabila
tugas itu sudah dilaksanakan, berikan pujian atau ucapkan terima kasih kepada
anak itu kerana telah melakukannya dengan segera. Selitkan juga ucpan terima
kasih kerana "dia sanggup mendengar kata-kata anda". Dengan ini, kanak-kanak
akan dapat merasakan yang ibu bapanya benar-benar mengambil perhatian terhadap
apa yang dikatakan dan mereka juga dapat merasakan betapa besar maknanya kepada
ibu bapa untuk mereka mematuhi suruhan tersebut.
· Tetapi
jika kerja itu tidak dilakukan, hampiri anak tersebut dan bincangkan tentang apa
yang kita mahu dia lakukan. Terus awasi dia sehingga dia selesai
melaksanakannya. Apabila dia semakin menunjukkan peningkatan melakukan kerja
dengan pengawasan, kita boleh kurangkan memberi kata-kata pengesahan setiap kali
dia melakukan sesuatu kerja, tetapi sekali-sekala, berikan komen bahawa mereka
bertanggungjawab dan tunjukkan penghargaan kepada sumbangan mereka itu.
· Kita
boleh janjikan sesuatu yang menarik kepadanya sekiranya dia melakukan apa yang
disuruh. Contohnya membawa dia bersiar-siar di hujung minggu nanti sekiranya dia
bersikap rajin dan melakukan apa yang disuruh.
· Terangkan
juga kepadanya betapa besarnya pahala anak yang mentaati kedua ibu bapanya. Anak
sebegini yang akan mendapat keredhaan ibu bapa, yang merupakan antara syarat
utama untuk masuk syurga kelak.
· Selalu
bacakan kisah-kisah mengenai anak yang mentaati kedua ibu bapanya dan balasan
yang Allah s.w.t. berikan. Kisah-kisah semasa boleh diceritakan. Contoh di
kalangan saudara mara juga adalah baik untuk disebutkan kepada anak-anak.
Umpamanya, anak yang seringkali berjaya di dalam hidup mereka berkat ketaatan
mereka kepada kedua ibu bapa. Ceritakan juga kisah-kisah anak yang tidak
mendengar kata-kata ibu bapa mereka serta kesusahan dan bala yang Allah turunkan
untuk anak-anak seperti ini.
· Jika
menonton drama di televisioan mengenai anak yang baik atau akibat anak yang
degil, berikan komen atau iktibar daripadanya selepas kita menontonnya bersama.
Lebih baik lagi jika kita dapat merakamnya untuk ditonton lagi di masa-masa yang
akan datang.
· Perhati
dan periksalah diri kita sendiri. Kadang-kadang anak yang bersifat degil itu
adalah cermin diri kita. Mungkin kita juga seorang yang degil, cuma cara dan
bidangnya berbeza. Mungkin, hanya satu bentuk kecuaian kita dalam menjaga
syariat, sudah cukup untuk menjadikan kita gagal dalam memimpin dan mendidik
anak-anak. Kecuaian kita menunjukkan kita juga `degil' untuk mematuhi perintah
Allah s.w.t., justeru itu Allah berikan teguran-Nya melalui sikap anak-anak.
Cuba perbaiki diri kita dari masa ke semasa, untuk menjadi hamba Allah yang
taat, semoga anak kita juga taat kepada ibu dan ayahnya.
· Jangan
terlalu banyak mencemuh atau mengutuk anak kalau dia bersikap degil. Ini tidak
akan memberi apa-apa kebaikan. Malah, ia akan merosakkan hubungan di antara ibu
bapa dan anak-anak. Anak-anak yang merasakan dirinya `tidak berguna' dan dibenci
oleh ibu bapa akan bersikap lebih degil lagi, kerana dia juga sedikit sebanyak
turut mebenci kedua ibu bapanya.
· Jangan
biarkan anak terus dengan sikap degilnya itu. Kalau kita menyuruh berbuat
sesuatu dan dia tidak mengendahkannya, kita harus terus memujuknya supaya dia
tetap melakukannya. Jangan pula di waktu-waktu tertentu kita biarkan dia lepas
begitu sahaja, manakala di waktu lain kita begitu marahkan dia.
· Elakkan
daripada menyuruh anak melakukan perkara yang memang tidak disukainya, melainkan
kalau perkara itu memang perlu dilakukan. Sebaliknya banyakkan suruhan pada
perkara-perkara yang digemarinya atau yang lebih mudah untuk dilakukan.
Contohnya, anak lelaki mungkin lebih suka pergi ke kedai dan menyapu halaman
manakala anak perempuan pula lebih mudah disuruh membasuh pinggan, mengemas
rumah dan sebagainya.
· Akhir
sekali, jangan terlalu mengharapkan kesempurnaan. Kadangkala ibu bapa yang
terlalu mengharapkan anak-anak mereka cepat berubah akan kecewa apabila
anak-anak tidak melakukan apa yang disuruh. Apabila kecewa, kita mungkin akan
menjadi hilang sabar lalu hilang pertimbangan hingga melakukan tindakan yang
keterlaluan dengan menghukum anak-anak. Bayangkan diri kita sewaktu kecil,
adakah kita mudah melakukan setiap apa yang disuruh? Begitulah juga situasi
anak-anak kita sekarang. Yang penting, teruskan memberi mereka didikan dengan
penuh sabar, Insya-Allah semakin mereka meningkat umur ke arah dewasa, mereka
akan faham bagaimana untuk menjadi anak yang taat, mendengar kata dan
bertanggungjawab.
Nota Hati- Alhamdulillah dikurniakan cahaya mata yang comel2 belaka, sihat tubuh badan dan sempurna. Jangan mudah mengalah dalam mendidik dan menangani kerenah anak2. Allah berikan ujian dalam pelbagai bentuk, ujian saya dan suami hari ini nak behavekan siabang supaya mendengar kata dan behave disekolah tidak la sebesar mana jika dibandingkan dengan ujian untuk ibubapa lain diluar sana, yang anaknya sakit terlantar dihospital (nauzubillah), tak kurang juga yang berdoa siang dan malam berusaha untuk mendapatkan gelaran ibu dan bapa. Terima Kasih Ya Allah.